Sunday 4 December 2011

SENI BATIK

Pengenalan 

Batik merupakan sejenis kraf yang dihasilkan melalui proses menerap lilin dan mewarnakan kain.  Batik terkenal di seluruh gugusan Kepulauan Melayu dan dianggap sebagai bidang kraf tangan tradisional yang unggul.  Batik tradisi dan moden mempunyai corak yang sesuai dengan citarasa dan perkembangan kesenian Malaysia.  Kini perusahaan batik telah berkembang dengan pesatnya dan menjadi satu industri kampung yang utama khususnya di Kelantan dan Terengganu.  Perusahaan batik telah berkembang luas dengan peningkatan permintaan dan bantuan teknologi moden.  

Batik tulis, batik lukis dan batik canting merupakan satu kaedah baru membuat batik yang telah menaikkan perusahaan batik di Malaysia.  Pada peringkat awal, batik tulis hanya diperkenalkan sebagai hiasan dinding yang berupa pemandangan yang dijual kepada para pelancong.  Pada tahun 1970-an, teknik ini telah diterapkan dalam pembuatan skaf, kain selendang dan baju kurung.  Penggunaannya telah diperluaskan lagi dalam bentuk dimensi baru.  Batik semakin digemari oleh peminat fesyen kerana dapat disuaipadankan mengikut peredaran zaman.